Salam kepada semua,
Apakah jenis permainan yang digalakkan dan harus dilarang?
sebagai sambungan kepada perbincangan "Perlukah Kanak-Kanak Bermain?" Dalam halaman ini saya cuba untuk mengklasifikasikan apakah permainan-permainan yang boleh membantu memperkembangkan fakulti fizikal, sosial, minda, emosi dan jiwa kanak-kanak.
Untuk membina seorang kanak-kanak menjadi secara menyeluruh, kesemua fakulti yang disebutkan tadi harus berkembang secara serentak. Terlalu berfokuskan terhadap salah satu aspek sahaja bukanlah satu tindakan yang tepat.
Saya suka menyentuh terhadap aspek perkembangan ini kerana seolah-olah menjadi suatu budaya dalam masyarakat Malaysia, ibubapa terlalu menekankan kecapaian akademik (fakulti kognitif-minda) dan seringkali mengabaikan aspek yang lainnya. Ini mungkin bagus dari akademik tetapi belum tentu menjanjikan seorang dewasa yang matang kelak.
Dari manakah anak-anak ini membina aspek-aspek yang lain yang seringkali diabaikan? Kebanyakannya dari interaksi sosial dan permainan. Seluruh alam dan dunianya adalah permainan. Semuanya bersifat simulasi dan olok-olok.
Apa jua yang ada dihadapan mereka digunakan secara bebas sebagai sokongan dalam aktiviti bermain dan alam angan-angan mereka. Kerusi dan meja boleh menjadi kereta, Kotak minuman boleh menjadi bangunan dan sebagainya.
Jadi apakah permainan yang harus digalakkan dan yang mana pula harus dilarang?
Beberapa aspek yang perlu diberi pertimbangan dalam pemilihan alat permainan:
1. Keselamatan
2. Pergerakan
3. Sosialisasi
4. Membina pemikiran
5. Persediaan untuk peringkat remaja.
6. Bahan-bahan yang menjadi kompenen permainan
Apa pun permainan yang kita pilih untuk seorang kanak-kanak samada anak kita sendiri atau seorang anak yang dibawah jagaan kita seperti di Tadika, Taman Asuhan dan sebagainya, aspek-aspek ini perlu diberi pertimbangan serius sebelum pemilihan dibuat.
Keselamatan melibatkan aspek sudut dan bucu yang mungkin berpotensi untuk mencederakan kanak-kanak ketika mereka berinteraksi (bermain) dengan permainan tersebut. Bahagian-bahagian yang tajam yang boleh digunakan secara sengaja atau sebaliknya mencederakan rakan dan diri sendiri.
Potensi untuk mereka tercekik; seperti bertali, berlubang, kecil dan boleh tersekat dalam rongga-rongga hidung, tekak, telinga dan sebagainya.