Sebagaimana post yang lalu sebahagian dari kepentingan permainan kepada kanak telah disentuh serba sedikit. Jelasnya hanya dunia dewasa melihat kebanyakkan tindakan kanak-kanak sebagai sesuatu yang bersifat simulasi, olok-olok dan naif. Malahan golongan dewasa juga mengganggap segala perlakuan dan tindakan golongan remaja sebagai sesuatu yang tidak serius tetapi rebelious; paling tidak dianggap kurang matang.
Ini adalah disebabkan golongan dewasa telah melalui fasa-fasa ini sebelumnya dan merasakan ianya agak mendengkelkan untuk mengulanginya lagi. Bagi kanak-kanak, bermain itulah realiti kehidupan sehariannya. Di situlah berlaku pembelajaran, percambahan pengalaman demi pengalaman sebagai persediaan untuk melangkah ke fasa seterusnya.
Seperti sebuah kereta yang baru dibeli. Baru saja habis "running-in". Minyak silinder pun baru diganti dengan fully-synthethic/semi-synthethic. Diservis pada pada waktunya oleh ejen bertauliah. Segala bearings, journals, tuil, tuas, suis dan segala perkakasan dan kemasan rapi, debu, kotoran, kebocoran masih belum sempat singgah melekat ditubuhnya. Injinnya berdetik lembut dengan sekali pulas pada suis penghidup sahaja. Masukkan gear, tekan saja trotel. Lancar dan licin. Tengok di speedometer dan cecah 145km/h. Taunya nak terbang aje.
Begitu juga dengan anak-anak kita. Segala anggota fizikalnya masih utuh lagi. Tiada cacat celanya. Matanya terang, nafasnya lancar, degupan jantungnya segar, kulitnya halus bersih tanpa parut. Belum ada luka, kudis, tulangnya belum ada yang retak atau patah, segala urat masih tersusun rapi. Nah...salur darahnya elok, salur udaranya elok. Makanan utamanya susu ibu. Nah.....secara teorinya anak-anak ini mempunyai tenaga tersimpan yang melebihi dari keperluannya hariannya. Jadi kemanakah akan dihamburkan tenaga ini jika ia tidak bekerja? Dia mesti bermain sebab manusia tidak boleh duduk diam jika tenaga tersimpan dalam diri tidak digunakan.
Bagi yang dewasa, segala fakulti fizikalnya telah sedikit sebanyak mengalami proses wear and tear. Amalan permakanannya pun sudah tidak teratur dan terkawal lagi. (Asyik nasi beriyani kambing je....) Kolesterol dah mula bersarang dalam urat darah, nikotin dah melekat dalam peparu. tidur belum tentu cukup. Itu belum kira stress minda lagi. Tenaga berkurangan dan tugas yang kita tak suka buat melambak.
Dalam situasi di mana anak-anak diletakkan rapat-rapat dan tidak boleh bergerak bebas, cuit-mencuit, usik-mengusik berlaku dengan begitu ketara sekali. Dengan tenaga dalam tubuh mereka begitu banyak, mereka tidak boleh duduk diam. Mereka perlu bermain. Permainan adalah amat penting bagi kanak-kanak.
Bermain secara aktif membantu kanak-kanak menajamkan persepsi kognitif-psikomotor mereka. Setiap pergerakan memerlukan perancangan. Otot-otot anggota badan dilatih berulang-ulang sehinggakan pergerakan tubuh berubah dari kasar (bumpy) ke halus (refine movement). Secara tidak sedar dengan bermain telah mematang kordinasi kognitif-deria-fizikal.
Bermain berkumpulan juga penting dari segi sosial. Sikap kerjasama sepasukan dapat dipupuk dalam permainan. Ini membantu menyediakan kanak-kanak untuk fasa remaja dan seterusnya dewasa, kemahiran bersosial menjadi begitu penting yang boleh menentukan samada seseorang individu itu mampu berada dalam kelompoknya secara kondisif atau sebaliknya. Ramai individu yang dari segi angka sudah berada di tahap dewasa tetapi dari segi pemikirannya masih kebudak-budakan. (Saya suka namakan ini sebagai "I" personaliti. Semuanya I buat, I punya achievement, I yang gerakkan, I yang mulakan etc. Kalau dalam perbualan, I yg dominate, audience lain cuma perlu dengar dan angguk aje)
Alam awal kanak-kanak penuh dengan sifat id. Yakni semuanya tentang aku dan diriku. Dalam sebarang lukisan atau karya visualnya. gambaran dirinya sendiri selalu paling besar, signifikan dan berada di tengah-tengah karya. Begitu juga halnya dalam setiap permainan, lakonan, bercerita dsbnya. Semuanya tentang dirinya. Rakan-rakan, anggota keluarga, malahan kedua ibubapanya pun hanya dianggap sebagai watak sokongan dan sampingan semata.
Permainan yang memerlukan personifikasi watak-watak dewasa secara halus mendidik anak-anak untuk keluar dari sifat semulajadi mereka. Ini dapat membantu mereka untuk keluar secara perlahan-lahan dari sifat pentingkan diri sendiri kepada lebih bertimbang rasa dan bertolak ansur sesama sendiri. Harus diingat kanak-kanak amat gemar meniru segala perlakuan dewasa, terutamanya yang menjadi idola/pelindung diri mereka.
Watak-watak komik, kartun, superhero, ibu, bapa, abang atau kakak, dan guru amat popular dikalangan kanak-kanak.
Bagi mereka ini merupakan satu eksplorasi dan pengulangan permainan ini menjadikan mereka lebih selesa dan seterusnya diterima ke dalam kelompok umur yang lebih dewasa. Kualiti-kualiti yang disenangi oleh orang dewasa seperti kepimpinan, kemampuan menyatakan sesuatu dengan betul, tidak terlalu berkira dsbnya adalah petanda-petanda seorang anak itu telah belajar sesuatu/mencapai tahap kematangan tertentu.
Bermain sering dikaitkan dengan keseronokkan. Pembelajaran berlaku dalam situasi kurang tekanan. Malah boleh dikatakan secara tidak disedari oleh kanak-kanak. Samada dalam situasi formal. non-formal atau informal, ia tetap berlaku. Ia amat sesuai dengan sifat kanak-kanak yang suka bergerak bebas dan mempunyai sedikit unsur pertandingan sesama mereka.
Permainan yang berbentuk pertandingan selalu memberi kesan yang kuat terhadap daya ingatan kanak-kanak. Bayangkan bagaimana rasanya kali pertama kita memenangi pertandingan lumba lari dalam guni peringkat sekolah rendah. Masih terbayang diruang minda saat menerima hadiah dari pengerusi PIBG.
Kesimpulan: Permainan penting membantu proses kematangan fizikal, sosial, emosi dan inteleks kanak-kanak. Merupakan persediaan untuk melangkah ke peringkat seterusnya - keremajaan. Proses pembelajaran berlaku secara asimilasi serta kurang tekanan secara langsung.