Kenapa mereka suka bermain?
Pentingkah bermain bagi kanak-kanak?
Apakah jenis permainan yang digalakkan dan harus dilarang?
Memang semua anak-anak suka bermain. Hampir setiap waktu mereka bermain dengan apa jua yang mereka jumpa dan lihat. Samada dengan rakan atau bersendirian. Bagi seorang anak, seluruh alam ini adalah taman permainannya.
Bermain tidak semestinya memerlukan alat permainan khusus. Ya,jika seorang anak diberikan permainan yang khusus, mereka terus saja bermain dengannya untuk jangka masa tertentu. Tanpa sebarang alat permainan khusus pun mereka tetap akan bermain. Apa jua objek yang ada akan digunakan membantu permainan mereka. Objek yang bulat akan digolekkan, yang bersegi disorong, ditarik, dinagkat, dijatuhkan dan sebagainya. Ini akan berlarutan sehingga mereka terasa jemu atau perhatiannya tertarik kepada suatu objek atau situasi yang lain.
Tetapi tedapat juga beberapa objek yang memberi impak yang amat mendalam tehadap jiwa seorang anak sehingga dapat mengekalkan perhatiannya pada suatu jangkamasa yang amat panjang. Bantal busuk, teddy bear, objek-objek biasa atau hanya serpihan objek sahaja, tanpa disangka menjadi begitu intim dengan seorang anak sehingga boleh mengganggu tidurnya. Apakah punca penyebab keintiman seorang anak ini dengan objek tertentu? Jadi apakah perbuatan bermain ini dilakukan sebegitu rupa tanpa tujuan yang jelas?
Sebagaimana kita bincangkan terdahulu, saya ada menyatakan bahawa manusia adalah organisme yang paling dinamik dan sentiasa memberikan tindakbalas tertentu terhadap rangsangan dari persekitarannya.
Dalam situasi bermain, kesemua deria kanak-kanak akan terangsang dalam suatu masa tertentu. Matanya melihat dan membezakan bentuk, saiz, warna, tekstur dsbnya, telinganya mendengar pelbagai bunyi; gesekan, hentakan, golekkan yang seringkali berubah dan berbeza secara relatif mengikut saiz, bentuk setiap objek yang dimanipulasi.
Contoh: Bunyi balingan bola getah ke lantai ceramic tiles berbeza jika dibaling ke lantai papan dirumah tradisi nenek mereka. (Kita selalu marah jika anak kecil berjalan menghentak kaki dirumah papan nenek, sebenarnya mereka sedang menerokai rangsangan bunyi baru dan menarik semasa bermain)
Begitu juga dengan deria rasa lidah yang cuba membezakan masam, manis, pahit, kelat dsbnya. Tidak hairanlah jika bayi suka memasukkan pelbagai benda ke dalam mulut mereka. Deria sentuhan kulit juga tidak terlepas dari rangsangan semasa sesi bermain. Apa jua yang menarik perhatian anak akan disentuh.
Apakah alasan dan wadah bagi seorang anak untuk melakukan kesemua bentuk eksplorasi deria mereka?
Bermain.....dengan apa jua benda, objek, situasi yang menarik minat mereka. Ini juga menjadikan perhatian mereka begitu cepat berubah kerana terlalu banyak perkara dan benda yang ingin dikenali dan dirasai oleh mereka kecuali rangsangan tertentu memberi impak yang terlalu mendalam kepada jiwanya. (Bau bantal busuk, susu masam, air liur basi, cekam dsbnya: kurang enak baunya tetapi kita tetap akan hidu berkali-kali)
Bagi orang dewasa, ianya hanyalah permainan, simulasi kepada keadaan sebenar tetapi bagi kanak-kanak, bermain adalah proses mencari kebenaran.
Contoh: Kali pertama seorang anak tersentuh dengan seterika panas, ia berhadapan dengan satu realiti dalam siri bermainnya. Sesuatu yang dihadapi kali pertama. Traumatik tentunya dan boleh menentukan tindakannya jika berhadapan dengan situasi yang sama di masa hadapan. Ini adalah proses pembelajaran. ( Setelah seorang anak mengalami situasi ini, cuba halakan seterika sejuk kepadanya. Seringkali dia akan mengelak serta-merta atau mungkin akan terus berlari menangis mendapatkan ibunya. Ini petanda pengalaman pertamanya tadi amat traumatik.)
Bagi orang dewasa hal yang sama adalah ulangan kepada pengalaman yang telah ada dalam tanggapannya. Situasi yang sama tetapi persepsi yang berbeza. Dalam proses menjadi dewasa, seringkali pengalaman traumatik sebegini akan terhakis apabila kanak-kanak mula memahami sesuatu perkara atau situasi dan dapat menguasai keadaan; suatu proses kematangan melalui pengalaman.
Pun begitu ada juga pengalaman yang terlalu traumatik di zaman kanak-kanak yang tidak dapat dihakis/diperbetulkan sehingga membentuk wataknya sebagai seorang dewasa. Individu dewasa yang phobia terhadap ular, lipas, labah-labah, lipan atau tidak mampu menyelam (sekadar mencelup kepada kedalam air) besar kemungkinan pernah mengalami situasi traumatik dalam siri permainannya di zaman kanak-kanak.
Akhirnya setelah individu menjadi dewasa, apa yang dilakukannya di alam kanak-kanak hanyalah dianggap sebagai permainan. Satu simulasi sebagai persediaan untuk menjadi dewasa.
Kesimpulan: Bermain adalah penting bagi kanak-kanak yang sihat.
No comments:
Post a Comment