Translate

Monday, August 25, 2014

Seni Kanak-Kanak: Satu Sorotan

Assalamualaikum,

Setelah tiga puluh tahun berusaha membina manusia, hati tiba-tiba terpanggil untuk membicarakannya secara terbuka.

Membina manusia?

Ya, saya katakan lagi membina manusia. Bukankah manusia telah diciptakan sempurna? Jika benar kenapakah manusia merupakan organisme perosak mukabumi yang paling besar dan paling susah untuk dikawal walaupun diterapkan fakulti akal serta nafsu dalam jiwanya?

Anai-anai pula yang dituduh sebagai makhluk perosak kerana species ini selalu mendatangkan ketidakselesaan terhadap kehidupan manusia; selalu menggugat dan memusnahkan benda-benda dan perkara-perkara yang dihargai, disayangi manusia. Pernahkah manusia cuba mengajar anai-anai supaya bersikap lebih bertamaddun dan jangan merosakkan benda yang dianggap bernilai oleh manusia?

Tidak.....

Manusia, dengan kelebihan akal fikirannya hanya berusaha untuk menghalang dan memusnahkan anai-anai dari merosakkan harta kesayangan mereka. Lantaran anai-anai menjadi sinomim dengan kemusnahan dimata manusia. Musuh mungkin.

Walhal, disamping membina pelbagai perkara, benda, objek, sistem dan sebagainya untuk keselesaan diri semata; manusia juga adalah pemusnah bumi yang paling rakus dan jauh lebih kejam dari anai-anai yang hanya meruntuhkan kayu mati.


Sebagaimana tukang membina rumah, jurutera membina jambatan dan mesin, ahli ekonomi membina sistem kewangan, tugas membina manusia sebenarnya jauh lebih kompleks kerana manusia adalah organisme yang paling dinamik dan sentiasa berubah mengikut rangsangan dari segenap sudut persekitarannya. Secara lahiriah mau pun batiniah.

Jelas sekali manusia itu sendiri perlu dibina akal, jiwa dan fizikalnya seimbang dengan kemampuan daya ciptanya menghasilkan objek, alat dan sistem untuk keselesaan kehidupan hariannya.

Kesimpulannya, akal dan pemikiran manusia perlu dibina dan ini perlu dimulakan sejak ia dilahirkan hingga ke liang lahat. Wadah seni merupakan satu landasan yang mudah untuk menyelami jiwa dan pemikiran kanak-kanak. Kefahaman terhadap diri mereka memudahkan kita (orang dewasa) untuk membina jiwa dan pemikiran kanak-kanak.

Bicara seterusnya: Mengapa kanak-kanak perlu bermain?





No comments:

Post a Comment